Saturday 30 June 2012

Kisah Tudung Labuhku :’)

ByPendamba al Jannah
بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah. Hanya itu yang mampu aku ucapkan, syukur ku ke hadrat Ilahi, sungguh rancanganNya itu terbaik buat umatnya. Terima kasih ya Allah.
Aku seorang pelajar di sebuah IPTA, di Sabah. Sebagai seorang pelajar semester 1, terasa kecil diri ini, dan diwajibkan mendiami asrama dan memaksa aku untuk mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan. Antaranya adalah, menghadirkan diri ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah mengikut jadual yang telah disusun oleh AJK asrama. Bagi muslimah yang dalam keadaan uzur, terpaksa juga turun, dan mendengar usrah.
Kisah ku bermula apabila melihat seorang siswi yang sangat manis bertudung labuh, sejuk mata memandang. Dia masuk ke masjid melalui pintu utama muslimah, aku terpegun seketika. Ya Allah, mungkinkah begini rupa bidadari syurgawi? Subhanallah. Terasa malu menyelinap dalam diri yang menutup aurat ala kadar sahaja. Pernah terdetik ingin menggunakan tudung labuh suatu masa dulu tapi kerana ingin ikut trend shawl, pashmina ala hana tajima, niat itu terkubur.
Balik dari solat berjemaah malam itu, aku berazam suatu hari nanti aku pasti akan menutup aurat sepenuhnya. InsyaAllah. Dan sungguh, betul lah orang kata, bila niat kita baik, pasti Allah SWT akan tolong dan bila kita ingin jadi baik, Allah akan hantar orang yang baik untuk kita. Its true!
Seperti rancangan Allah yang Maha Bijaksana, setiap hari Jumaat aku akan ‘ stayout ‘ ke rumah kakak ku berdekatan IPTA. Sambil mengisi masa cutiku bersama anak buah yang baru dilahirkan, aku dapat menjimatkan belanja. Sambil menyelam, minum air. Hehe. Tapi itu bukan lah persoalannya. Kakak ku seorang muslimah yang juga menggunakan tudung labuh. Suatu hari, dia keluar bersama suaminya untuk membeli barang dapur dan meminta aku untuk menjaga anaknya. Semasa sedang menidurkan anak kecil itu, mataku terpana pada sehelai tudung labuh hijau milik kakak ku yang tergantung di penjuru biliknya. Selesai sahaja anak buahku tidur, aku ambil tudung labuh itu dan memakainya. Aku melihat di depan cermin. Subhanallah. Aku melihat diriku sangat perlukan tudung ini sebagai pelindung. Aku terkedu lalu menangis. Ya Allah, kalau inilah yang Engkau rancangkan untukku, permudahkanlah langkah ku dalam perjalanan menjadi seorang muslimah sejati kelak. Aminnnn!
Secara jujurnya, aku bukanlah seorang muslim yang baik, tapi aku ingin menjadi baik dengan izinNya pasti. Selepas kesedaran itu, setiap hari yang aku lalui seperti mengajak ku untuk yakin menggunakan tudung labuh itu. Aku log in account Facebook ku, 1st status yang aku lihat berkenaan wanita yang solehah. Ia makin menguatkan aku untuk teruskan niat suci ini.
Aku teruskan pencarian artikel tentang aurat, wanita solehah dan khususnya tips permulaan untuk menggunakan tudung labuh. Keyakinan ku bertambah dengan sebuah hadis yang mengatakan, seorang ayah boleh menjadi lelaki dayus sekiranya melihat saja anaknya tidak menutup aurat, something like that. Aku terkedu. Ya Allah, mana mungkin aku sanggup sekiranya ayahku terpaksa undurkan kaki bila dirinya layak ke JannahMu.Aku tidak sanggup. Aku mahu dia merasakan nikmat JannahMu dengan amalan dan redhaMu. Aminn!
Dengan keyakinan dan pertolongan Allah, aku kuatkan diri juga menggunakan tudung labuh untuk pertama kalinya. Pada masa itu ialah hari pertama peperiksaan akhir semester 1. Banyak yang bermain di fikiran tapi semua berjaya aku hadapi dengan mengingati Allah SWT sahaja. Ada yang menyindir, memuji, tidak kurang juga yang memandang serong. Namun aku kuatkan diri juga, kerana aku tahu hari itu akan berlalu tapi tidak azab yang menanti di sana. Subhanallah, Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah untuk kekuatan ini.
Hari kedua menggunakannya, aku semakin selesa. Seorang kawanku bertanya, kalau-kalau aku berasa panas dengan stoking tangan dan kaki. Ingin aku katakan, azab di sana lagi panas tiada lawannya, namun demi menjaga hatinya aku simpankan sahaja di dalam hati. Aku hanya tersenyum dan berdoa, semoga kelak dia juga mendapat hidayah yang manis ini, aminn.
Dulu sebelum menggunakan tudung labuh, aku hanya solat fardhu sahaja, dan kadang-kadang tertinggal solat Subuh. Alhamdulillah, tudung ini sangat memberi inspirasi untuk sesuaikan penampilan dengan ibadah. Aku mula mencari artikel tentang solat sunat, zikir-zikir, menghafal doa iftitah semula, puasa yang sunat boleh dilakukan. Dan aku mula berjinak-jinak dengan dakwah di FB, twitter dan juga blog khususnya. Walaupun bukan berilmu sangat, aku tertarik dengan ayat ini, ‘’ sampaikanlah walau sepotong ayat ’’ dan juga ‘’ bantulah agama Allah, nescaya Allah akan membantumu ‘’ . Aku pegang kata-kata ini, dakwah itu amanah. Walaupun sering di ejek oleh kawan-kawan di FB, aku ambil sebagai pembakar semangat sahaja. Aku Cuma tidak ingin dipersoalkan di akhirat kelak.
Kisah ini bukanlah untuk berbangga diri atau ingin mengatakan diri ini sudah cukup baik. Tapi ingin berkongsi sesuatu yang telah dirancangkan Allah SWT. Islam tidak menjanjikan mudah, tapi Islam menjanjikan Jannah. Sungguh, rancangan itu adalah terbaik untuk kita, let it flow dan berpegang pada janjiNya. Bila diri terasa lemah, sentiasa ingatkan diri dengan Jannah yang menanti. Anda pasti kuat. insyaAllah, Allah bersamamu sahabatku. Semoga kita semua dapat hidayahNya dan semoga Jannah milik kita kelak. Aminn. Doakan saya kuat dalam beristiqamah.
# Pendamba al Jannah


Mazhab Hanafi
Pendapat Mazhab Hanafi, wajah wanita bukanlah aurat, namun memakai purdah/niqab hukumnya sunnah (dianjurkan) dan menjadi wajib jika dikhuatiri wanita berkenaan akan menimbulkan fitnah.

1. Asy Syaranbalali berkata:
وجميع بدن الحرة عورة إلا وجهها وكفيها باطنهما وظاهرهما في الأصح ، وهو المختار

“Seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan dalam serta telapak tangan luar, ini pendapat yang lebih sahih dan merupakan pilihan mazhab kami.” (Matan Nuurul Iidhah)
2. Al Imam Muhammad ‘Alaa-uddin berkata:
وجميع بدن الحرة عورة إلا وجهها وكفيها ، وقدميها في رواية ، وكذا صوتها، وليس بعورة على الأشبه ، وإنما يؤدي إلى الفتنة ، ولذا تمنع من كشف وجهها بين الرجال للفتنة
“Seluruh badan wanita adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan dalam. Dalam suatu riwayat, juga telapak tangan luar. Demikian juga suaranya. Namun bukan aurat jika dihadapan sesama wanita. Jika cenderung menimbulkan fitnah, dilarang menampakkan wajahnya di hadapan para lelaki.” (Ad Durr Al Muntaqa, 81)
3. Al Allamah Al Hashkafi berkata:
والمرأة كالرجل ، لكنها تكشف وجهها لا رأسها ، ولو سَدَلَت شيئًا عليه وَجَافَتهُ جاز ، بل يندب
“Aurat wanita dalam solat itu seperti aurat lelaki. Namun wajah wanita itu dibuka sedangkan kepalanya tidak. Andai seorang wanita memakai sesuatu di wajahnya atau menutupnya, boleh, bahkan dianjurkan.” (Ad Durr Al Mukhtar, 2/189)
4. Al Allamah Ibnu Abidin berkata:
تُمنَعُ من الكشف لخوف أن يرى الرجال وجهها فتقع الفتنة ، لأنه مع الكشف قد يقع النظر إليها بشهوة
“Terlarang bagi wanita menampakkan wajahnya kerana khuatir akan dilihat oleh para lelaki, kemudian timbullah fitnah. Kerana jika wajah dinampakkan, lelaki melihatnya dengan syahwat.” (Hasyiah ‘Alad Durr Al Mukhtaar, 3/188-189)
5. Al Allamah Ibnu Najiim berkata:
قال مشايخنا : تمنع المرأة الشابة من كشف وجهها بين الرجال في زماننا للفتنة
“Para ulama’ mazhab kami berkata bahawa dilarang bagi wanita muda untuk menampakkan wajahnya di hadapan para lelaki di zaman kita ini, kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah.” (Al Bahr Ar Raaiq, 284)

Mazhab Maliki
Mazhab Maliki berpendapat bahawa wajah wanita bukanlah aurat, namun memakai purdah/niqab hukumnya sunnah (dianjurkan) dan menjadi wajib jika dikhuatiri menimbulkan fitnah. Bahkan sebahagian ulama’ yang bermazhab Maliki berpendapat seluruh tubuh wanita itu adalah aurat.
1. Az Zarqaani berkata:
وعورة الحرة مع رجل أجنبي مسلم غير الوجه والكفين من جميع جسدها ، حتى دلاليها وقصَّتها . وأما الوجه والكفان ظاهرهما وباطنهما ، فله رؤيتهما مكشوفين ولو شابة بلا عذر من شهادة أو طب ، إلا لخوف فتنة أو قصد لذة فيحرم ، كنظر لأمرد ، كما للفاكهاني والقلشاني
“Aurat wanita di depan lelaki muslim ajnabi adalah seluruh tubuh selain wajah dan telapak tangan. Bahkan suara wanita juga aurat. Sedangkan wajah, telapak tangan luar dan dalam, boleh dinampakkan dan dilihat oleh kaum lelaki walaupun wanita tersebut masih muda baik sekadar melihat ataupun untuk tujuan perubatan. Kecuali jika dikhuatiri akan menimbulkan fitnah atau tujuan lelaki melihat wanita untuk bersuka-suka, maka hukumnya haram, sebagaimana haramnya melihat amraad. Hal ini juga diungkapkan oleh Al Faakihaani dan Al Qalsyaani.” (Syarh Mukhtashar Khalil, 176)
2. Ibnul Arabi berkata:
والمرأة كلها عورة ، بدنها ، وصوتها ، فلا يجوز كشف ذلك إلا لضرورة ، أو لحاجة ، كالشهادة عليها ، أو داء يكون ببدنها ، أو سؤالها عما يَعنُّ ويعرض عندها
“Wanita itu seluruhnya adalah aurat. Baik badannya mahupun suaranya. Tidak boleh menampakkan wajahnya kecuali dalam keadaan darurat atau ada keperluan mendesak seperti persaksian atau perubatan pada badannya, atau kita dipertanyakan apakah ia adalah orang yang dimaksud (dalam sebuah persoalan).” (Ahkaamul Qur’an, 3/1579)
3. Al Qurthubi berkata:
قال ابن خُويز منداد ــ وهو من كبار علماء المالكية ـ : إن المرأة اذا كانت جميلة وخيف من وجهها وكفيها الفتنة ، فعليها ستر ذلك ؛ وإن كانت عجوزًا أو مقبحة جاز أن تكشف وجهها وكفيها
“Ibnu Juwaiz Mandad (ulama besar Maliki) berkata: Jika seorang wanita itu cantik dan khuatir wajahnya dan telapak tangannya menimbulkan fitnah, hendaknya dia menutup wajahnya. Jika dia wanita tua atau wajahnya buruk/hodoh, boleh baginya menampakkan wajahnya.” (Tafsir Al Qurthubi, 12/229)
4. Al Hathab berkata:
واعلم أنه إن خُشي من المرأة الفتنة يجب عليها ستر الوجه والكفين . قاله القاضي عبد الوهاب ، ونقله عنه الشيخ أحمد زرّوق في شرح الرسالة ، وهو ظاهر التوضيح
“Ketahuilah, jika dikhuatirkan terjadi fitnah, maka wanita wajib menutup wajah dan telapak tangannya. Ini dikatakan oleh Al Qadhi Abdul Wahhab, juga dinukil oleh Syaikh Ahmad Zarruq dalam Syarhur Risaalah. Dan inilah pendapat yang lebih tepat.” (Mawahib Jaliil, 499)
5. Al Allamah Al Banaani, menjelaskan pendapat Az Zarqani di atas:
وهو الذي لابن مرزوق في اغتنام الفرصة قائلًا : إنه مشهور المذهب ، ونقل الحطاب أيضًا الوجوب عن القاضي عبد الوهاب ، أو لا يجب عليها ذلك ، وإنما على الرجل غض بصره ، وهو مقتضى نقل مَوَّاق عن عياض . وفصَّل الشيخ زروق في شرح الوغليسية بين الجميلة فيجب عليها ، وغيرها فيُستحب
“Pendapat tersebut juga dikatakan oleh Ibnu Marzuuq dalam kitab Ightimamul Furshah, katanya : ‘Inilah pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki’. Al Hathab juga menukil dari perkataan Al Qadhi Abdul Wahhab bahawa hukumnya wajib. Sebahagian ulama’ bermazhab Maliki menyebutkan pendapat bahawa hukumnya tidak wajib, namun lelaki wajib menundukkan pandangannya. Pendapat ini dinukil Mawwaq dari Iyadh. Syeikh Zarruq dalam kitab Syarhul Waghlisiyyah memperincikan, jika cantik maka wajib, jika tidak cantik maka ianya sunnah.” (Hasyiyah ‘Ala Syarh Az Zarqaani, 176)

Mazhab Syafi’ie
Pendapat mazhab Syafi’ie, aurat wanita di depan lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah seluruh tubuh. Sehingga mereka mewajibkan wanita memakai purdah/niqab di hadapan lelaki ajnabi. Inilah pendapat muktamad mazhab Syafi’ie.
1. Asy Syarwani berkata:
إن لها ثلاث عورات : عورة في الصلاة ، وهو ما تقدم ـ أي كل بدنها ما سوى الوجه والكفين . وعورة بالنسبة لنظر الأجانب إليها : جميع بدنها حتى الوجه والكفين على المعتمد وعورة في الخلوة وعند المحارم : كعورة الرجل »اهـ ـ أي ما بين السرة والركبة ـ
“Wanita memiliki tiga jenis aurat, (1) aurat dalam solat (sebagaimana telah dijelaskan) iaitu seluruh badan kecuali wajah dan telapak tangan, (2) aurat terhadap pandangan lelaki ajnabi, iaitu seluruh tubuh termasuk wajah dan telapak tangan, menurut pendapat yang muktamad, (3) aurat ketika berdua bersama yang mahram, sama seperti lelaki, iaitu antara pusat dan lutut.” (Hasyiah Asy Syarwani ‘Ala Tuhfatul Muhtaaj, 2/112)
2. Syaikh Sulaiman Al Jamal berkata:
غير وجه وكفين : وهذه عورتها في الصلاة . وأما عورتها عند النساء المسلمات مطلقًا وعند الرجال المحارم ، فما بين السرة والركبة . وأما عند الرجال الأجانب فجميع البدن
“Maksud perkataan An-Nawawi, ‘aurat wanita adalah selain wajah dan telapak tangan’, ini adalah aurat di dalam solat. Adapun aurat wanita muslimah secara mutlak di hadapan lelaki yang masih mahram adalah antara pusat hingga lutut. Sedangkan di hadapan lelaki yang bukan mahram adalah seluruh badan.” (Hasyiatul Jamal Ala’ Syarh Al Minhaj, 411)
3. Syaikh Muhammad bin Qaasim Al Ghazzi, penulis Fathul Qaarib, berkata:
وجميع بدن المرأة الحرة عورة إلا وجهها وكفيها ، وهذه عورتها في الصلاة ، أما خارج الصلاة فعورتها جميع بدنها
“Seluruh badan wanita selain wajah dan telapak tangan adalah aurat. Ini aurat di dalam solat. Adapun di luar solat, aurat wanita adalah seluruh badan.” (Fathul Qaarib, 19)
4. Ibnu Qaasim Al Abadi berkata:
فيجب ما ستر من الأنثى ولو رقيقة ما عدا الوجه والكفين . ووجوب سترهما في الحياة ليس لكونهما عورة ، بل لخوف الفتنة غالبًا
“Wajib bagi wanita menutup seluruh tubuh selain wajah telapak tangan, walaupun penutupnya tipis. Dan wajib pula menutup wajah dan telapak tangan, bukan kerana keduanya adalah aurat, namun kerana secara umum keduanya cenderung menimbulkan fitnah.” (Hasyiah Ibnu Qaasim ‘Ala Tuhfatul Muhtaaj, 3/115)
5. Taqiyuddin Al Hushni, penulis Kifaayatul Akhyaar, berkata:
ويُكره أن يصلي في ثوب فيه صورة وتمثيل ، والمرأة متنقّبة إلا أن تكون في مسجد وهناك أجانب لا يحترزون عن النظر ، فإن خيف من النظر إليها ما يجر إلى الفساد حرم عليها رفع النقاب
“Makruh hukumnya solat dengan memakai pakaian yang bergambar atau lukisan. Makruh pula wanita memakai niqab (purdah) ketika solat. Kecuali jika di masjid keadaannya susah dijaga dari pandnagan lelaki ajnabi. Jika wanita khuatir dipandang oleh lelaki ajnabi sehingga menimbulkan kerosakan, haram hukumnya melepaskan (tidak memakai) niqab (purdah).” (Kifaayatul Akhyaar, 181)

Mazhab Hanbali
Imam Ahmad bin Hanbal berkata:
كل شيء منها ــ أي من المرأة الحرة ــ عورة حتى الظفر
“Setiap bahagian tubuh wanita adalah aurat, termasuk pula kukunya.” (Dinukil dalam Zaadul Masiir, 6/31)
1. Syeikh Abdullah bin Abdil Aziz Al ‘Anqaari, penulis Raudhul Murbi’, berkata:
« وكل الحرة البالغة عورة حتى ذوائبها ، صرح به في الرعاية . اهـ إلا وجهها فليس عورة في الصلاة . وأما خارجها فكلها عورة حتى وجهها بالنسبة إلى الرجل والخنثى وبالنسبة إلى مثلها عورتها ما بين السرة إلى الركبة
“Setiap bahagian tubuh wanita yang baligh adalah aurat, termasuk pula sudut kepalanya. Pendapat ini telah dijelaskan dalam kitab Ar Ri’ayah… kecuali wajah, kerana wajah bukanlah aurat di dalam solat. Adapun di luar solat, semua bahagian tubuh adalah aurat, termasuk wajahnya jika di hadapan lelaki. Jika di hadapan sesama wanita, auratnya antara pusat hingga lutut.” (Raudhul Murbi’, 140)
2. Ibnu Muflih berkata:
« قال أحمد : ولا تبدي زينتها إلا لمن في الآية ونقل أبو طالب :ظفرها عورة ، فإذا خرجت فلا تبين شيئًا ، ولا خُفَّها ، فإنه يصف القدم ، وأحبُّ إليَّ أن تجعل لكـمّها زرًا عند يدها
“Imam Ahmad berkata: ‘Maksud ayat tersebut adalah, janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada orang yang disebutkan di dalam ayat. Abu Thalib menukil penjelasan dari beliau (Imam Ahmad): ‘Kuku wanita termasuk aurat. Jika mereka keluar, tidak boleh menampakkan apapun bahkan khuf (semacam kaus kaki/sarung kaki), kerana khuf itu masih menampakkan lekuk kaki. Dan aku lebih suka jika mereka membuat semacam kancing tekan di bahagian tangan.” (Al Furu’, 601-602)
3. Syeikh Manshur bin Yunus bin Idris Al Bahuti, ketika menjelaskan matan Al Iqna’ , ia berkata:
« وهما » أي : الكفان . « والوجه » من الحرة البالغة « عورة خارجها » أي الصلاة « باعتبار النظر كبقية بدنها »
“’Keduanya, iaitu dua telapak tangan dan wajah adalah aurat di luar solat kerana adanya pandangan, sama seperti anggota badan lainnya.” (Kasyful Qanaa’, 309)
4. Syeikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin berkata:
القول الراجح في هذه المسألة وجوب ستر الوجه عن الرجال الأجانب
“Pendapat yang kuat dalam masalah ini adalah wajib hukumnya bagi wanita untuk menutup wajah dari pada lelaki ajnabi.” (Fatwa Nurun ‘Alad Darb, link)

Sumber: http://www.syahirul.com/

Bidadari Dunia – Dia Adalah yang Menjaga Akhlaknya


Kita terus menelaah Bidadari Dunia hari ini. Perempuan yang merupakan manusia, tetapi melangkah dengan langkahan bidadari. Mahal. Indah. Tinggi. Mulia.
Antara ciri-ciri wanita, perempuan yang sedemikian, pada saya, adalah yang menjagaakhlaknya.
Ya. Akhlak.
Dikatakan bahawa akhlak adalah pakaian yang menunjukkan keadaan kita. Buruk akhlak, buruklah orang memandang kita. Walaupun pada kita ada seribu satu kelebihan, seperti cantik, kaya dan sebagainya.
Cantik akhlak, cantiklah orang memandang kita. Walaupun pada kita ada seribu satu kekurangan, seperti miskin, tidak berapa cemerlang dalam pelajaran dan sebagainya.
Dan antara yang mendamaikan jiwa manusia, adalah akhlak.
Sebab itu perempuan berakhlak, dia adalah bidadari dunia.
Akhlak, bukan semata berdiri di atas nilai murni.
Pertamanya, perlu difahami bahawa, akhlak mulia bukanlah semata-mata berdiri di atas nilai murni semata-mata. Apakah maksud saya dengan penyataan ini?
Yakni, kita tidak memandang bahawa akhlak mulia itu semata-mata berdiri di atas nilai moral. Contohnya, kita tidak berbogel di tengah masyarakat, kerana masyarakat menganggap itu satu perkara yang tidak bermoral. Maka kita berpakaian, kerana pada masyarakat, berpakaian itu bermoral.
Contoh lain, kita tidak menengking-nengking orang, kerana masyarakat menganggap menengking itu satu perkara yang tidak murni. Begitu juga dengan kita membantu orang, kerana masyarakat menganggap membantu orang lain adalah perkara yang murni.
Ya. Akhlak bukan berdiri di atas ‘nilai murni’ atau ‘moral’ dengan ukuran masyarakat, ukuran manusia.
Tetapi konsep berakhlak yang sebenar itu, diukur dengan nilaian yang telah diletakkan oleh Allah SWT.
Masyarakat mungkin boleh menerima bahawa yang memakai baju kurung, tanpa tudung, itu dikatakan berakhlak, sopan. Tetapi di dalam Islam, itu belum mencapai tahap berakhlak lagi. Kerana jelas, di situ ada ‘keingkaran’ kepada Allah SWT berlaku. Maka bagaimanakah kita boleh mengira keingkaran kepada Allah SWT sebagai ‘berakhlak’?
Contoh lain dalam isu ini, berpegangan tangan dengan yang bukan mahram. Mungkin pada masyarakat, itu tidak mengapa. Tiada masalah. Bukan peluk pun. Jadi kalau berpegangan tangan, bersentuh bahu studi bersama, maka itu boleh dikira berakhlak lagi. Tetapi tidak di dalam Islam. Itu belum mencapai tahap ‘berakhlak’. Kerana jelas berlaku pengingkaran kepada Allah SWT di situ.
Jadi, bidadari dunia memahami akhlak mulia itu sedemikian rupa.
Apakah ‘akhlak mulia’? Itulah dia dengan berakhlak mengikuti akhlak yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.
Maka Mereka Berakhlak dengan akhlak yang diperintahkan.
Firman Allah SWT:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” Surah An-Nur ayat 31.
“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” Surah Al-Ahzab ayat 32.
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah Al-Ahzab ayat 59.
“Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga boleh terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh.” Hadith Riwayat Muslim, bernombor 3971.
Begitulah Allah SWT memerintahkan. Begitulah Rasulullah SAW menunjukkan.
Maka Bidadari Dunia itu matanya tidak liar dalam memandang yang tidak sepatutnya. Tidaklah bermaksud tunduk hingga terlanggar tiang dalam perjalanannya. Tetapi bermaksud, tidak terlalu teruja dengan sesuatu yang tidak sepatutnya.
Tiadalah pula mereka ini menunjuk-nunjukkan perhiasan mereka, kecuali pada tempat yang memang tidak terlindung. Tiadalah mereka menayang-nayangkan barang kemas, dan berlebih-lebihan dalam mengenakan hiasan.
Mereka juga menutup aurat dengan kemas. Tidak semata-mata mengikut fesyen arus itu dan ini. Tetapi memastikan bahawa yang Allah kehendaki itu selesai. Yakni menutup seluruh tubuh kecuali tangan dan wajah. Juga tidaklah hingga menunjukkan tubuh badan. Pakaian mereka labuh, walau apa pun yang dipakai mereka.
Mereka juga tidaklah ‘gedik’, mengada-ngada, melembutkan suara pada yang bukan mahram, dan berhubungan bebas dengan mereka. Tidak pula perempuan yang beriman ini, bidadari dunia ini, bila berjalan kedengaran ‘keletak-keletuk’. Mereka berjalan dengan sopan, teratur, dan tidak terlalu menarik perhatian. Terjaga.
Walaupun ada ayat di atas menyebut ‘isteri-isteri nabi’, tetapi hakikatnya hukum itu jatuh kepada semua perempuan muslimah yang beriman. Hal ini kerana, isteri-isteri nabi adalah ibu kepada perempuan yang beriman. Kerana itu mereka digelar, Ummul Mukminin. Mereka menjadi ikutan kepada perempuan yang inginkan keredhaan Allah SWT.
Kerana itu. Bidadari Dunia Sangat Indah.
Kerana memahami akhlak yang sedemikian ini dan melaksanakannya lah, Bidadari Dunia menjadi sangat indah. Cuba perhatikan semula sub topi di atas ini dan kemudian bayangkan. Sederhana bukan?
Ya. Sederhana. Tidak kelihatan terlalu terkinja-kinja. Kelihatan amat sopan. Amat cantik dalam erti kata cantik yang sebenar. Amat indah.
Saya tidak mampu menterjemahkan dengan apa-apa perkataan lain selain perkataan Sederhana.
Tidak terlalu melebih-lebih. Dan tidak pula terlalu kurang. ‘Just nice’ orang putih kata.
Itu yang membuatkan Bidadari Dunia indah.
Penutup: Tetapi siapakah yang hendak berakhlak sedemikian rupa?
Tetapi siapakah daripada kalangan saudari-saudari saya ingin berakhlak sedemikian?
Berakhlak dengan apa yang Allah SWT mahu. Bukan sekadar apa yang masyarakat mahu.
Akhlak yang indah. Yang cantik. Yang mulia.
Ketahuilah bahawa perempuan yang sedemikian, mahal harganya.
Terjaga. Kemas. Bukan murah yang boleh diambil oleh sesiapa. Suci!
Bidadari Dunia!
Siapakah yang mahu menjadi?
http://www.langitilahi.com/

Di Mana Harga Seorang Wanita

Hingga kini dunia islam bagai hilang punca, tertanya-tanya apakah jalan keluar sebenarnya bagi krisis kemanusiaan seperti pembunuhan, rompakan dan rogol? Mengapa masalah itu timbul? Jawabnya tidak lain adalah kerana insannya tidak dibangunkan. Selama ini yang dititik beratkan hanya pembangunan fizikal dan material.

Akhirnya materialnya maju tetapi manusia hidup kalau tidak seperti haiwan, tak ubahnya seperti syaitan!
Ittaqullah! Takutlah kamu kepada Allah! Di antara tanda-tanda Hari Kiamat semakin hampir adalah kebanyakan wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang! Seperti yang diriwayatkan dari Abu Hurairah RA : “Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang”.
Terjadinya huru-hara dan peperangan yang semakin parah di dunia hari ini adalah bersumber dari jiwa manusia yang tidak didorong, dipandu dan disuburkan untuk cinta dan takut pada Allah. Hati dan jiwa yang jahat telah mencetuskan kekacauan yang berterusan. Walau ilmu tinggi melangit, pengalaman berpuluh tahun, namun selama hati jahat, selama itulah manusia tidak akan dapat mendamaikan dunia ini.
Mengapa manusia seolah-olah kembali kepada peradaban penghambaan? Menjadi hamba kepada nafsu dan syaitan? Dalam sabda Nabi SAW:
“Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu, yang berada diantara dua lambung engkau”.(Riwayat Al Baihaqi)
SYAITAN YANG KREATIF DAN KRITISSyaitan memiliki pelbagai cara strategi dalam menggoda manusia, dan yang sering dieksploitasi sebaik-baiknya oleh mereka adalah dengan memanfaatkan hawa nafsu yang memang memiliki kecenderungan mengajak kepada keburukan. Syaitan tahu kecenderungan nafsu kita, dia terus berusaha agar manusia keluar dari garis yang telah ditentukan Allah, termasuk melepaskan hijab atau pakaian muslimah.
Mengapa muslimah (wanita islam) menjadi sasaran utama syaitan?
Mungkin kita sering dengar di majlis-majlis agama, di surau-surau, di masjid, di dewan, para ustaz, mubaligh, guru dan pensyarah kerap menyatakan ungkapan ini, bahawa “kaum Lelaki mempunyai hanya 1 Nafsu tetapi mempunyai 7 Akal. Manakala kaum kanita memiliki 7 Nafsu dan hanya 1 Akal”. Mungkin ada riwayat yang menyatakan hal ini tetapi pasti ianya hanya bersifat mendidik manusia.
Jadi, kita bertanya bagaimana dan apakah strategi syaitan menggoda muslimah?
Berikut adalah cara bertahap :
I. Menghilangkan Definisi HijabDalam tahap ini syaitan membisikkan kepada para wanita, bahawa pakaian apapun termasuk hijab (penutup) itu tidak ada kaitannya dengan agama, ia hanya sekadar pakaian, gaya hiasan atau fesyen ikutan bagi para wanita. Jadi tidak ada pakaian syar’i, dengan apa pun bentuk dan namanya tetap pakaian. Sehingga akibatnya, ketika zaman telah berubah, atau kebudayaan manusia telah berganti, maka tidak ada masalah pakaian mengikut peredaran zaman.
Berbeza pula jika seorang wanita berkeyakinan, bahawa hijab adalah pakaian syar’i (identiti keIslaman), dan memakainya adalah ibadah bukan sekadar gaya ( fesyen). Biarpun hidup bila dan di mana saja, maka hijab syar’i tetap dipertahankan.
Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, syaitan tetap tidak putus asa. Syaitan akan beralih dengan strategi yang lebih halus.
Caranya?
Pertama, Membuka Bahagian Tangan
Telapak tangan mungkin sudah kebiasaannya terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan model yakni membuka bahagian hasta (siku hingga telapak tangan). “Ah tidak apa-apa, kan masih pakai jilbab dan pakai baju panjang? Begitu bisikan syaitan. Dan benar si wanita akhirnya memakai pakaian model baru yang menampakkan tangannya, dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa saja. Maka syaitan berbisik,” Tu.. tidak apa-apa kan?
Kedua, Membuka Leher dan Dada
Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi. “Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan model pakaian yang lebih maju lagi, yakni terbuka bahagian atas dada kamu.” Tapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sekadar sedikit untuk mendapatkan hawa, agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli, sebab hanya sebahagian kecil sahaja yang terbuka.
Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari yang fesyen setengah lingkaran hingga yang fesyen bentuk huruf “V” yang tentu menjadikan lebih terlihat lagi bahagian sensitif lagi dari dadanya. Lelaki pula tidak kisah boleh melihat dan mengagak bentuk dan saiz dada muslimah mengikut kesukaannya.
Ketiga, Berpakaian Tapi Telanjang
Syaitan berbisik lagi, “Pakaian mu hanya gitu-gitu saja, “cool”, jom cari fesyen atau bahan lain yang lebih bagus! Tapi apa ye?” Si wanita berfikir. “Banyak fesyen dan kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat yang agak ketat biar lebih sedap/cantik dipandang. Bentuk badan kamu ramping dan kurus, kamu mesti serlahkan kecantikan agar lelaki tertawan denganmu,” syaitan memberi idea baru.
Maka tergodalah si wanita, dicarilah fesyen pakaian yang ketat dan kain yang tipis bahkan transparent. “Mungkin tak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya saja yang agak berbeza, biar nampak lebih feminin,” begitu dia menokok-nambah. Maka, pakaian tersebut akhirnya menjadi budaya ikutan di kalangan wanita muslimah, semakin hari semakin bertambah ketat dan transparent, maka jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi sebagai wanita kasiyat ‘ariyat (berpakaian tetapi telanjang).
Keempat, Agak di Buka Sedikit
Setelah para muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi. Dan sebagaimana biasanya dia menawarkan idea baru seperti “cool” dan “vogue”, dibisiki wanita itu, “Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, soalnya sempit, bukankah sebaiknya dibelah hingga lutut atau mendekati paha?” Dengan itu kamu akan lebih selesa, lebih kelihatan lincah dan energetik.” Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahagian bawah hingga lutut atau mendekati paha ternyata lebih selesa, terutamanya ketika duduk atau naik kenderaan. “Yah…. tersingkap sedikit tak apa-apa lah, yang penting selesa dan simple,” katanya.
Inilah tahap-tahap awal syaitan merosak kaum wanita, sehingga ke tahap ini pakaian masih tetap kekal dan panjang, hanya fesyen, corak, potongan dan bahan saja yang dibuat berbeza dengan hijab syar’i yang sebenarnya. Maka kini syaitan memulakan tahap berikutnya.
II. Terbuka Sedikit Demi Sedikit
Kini syaitan melangkah lagi, dengan tipu daya lain yang lebih “power” dan berani, tujuannya agar para wanita menampakkan bahagian aurat tubuhnya dan kelihatan seksi.
Pertama, Membuka Telapak Kaki dan Tumit
Syaitan Berbisik kepada wanita, “Baju panjang benar-benar tidak selesa, kalau hanya dengan membelah sedikit bahagiannya masih kurang selesa, lebih elok kalau dipotong sahaja hingga atas mata kaki.”
Ini baru agak longgar. “Oh…… ada yang yang terlupa, kalau kamu pakai baju sedemikian, maka jilbab yang besar tidak sepadan lagi, sekarang kamu cari jilbab yang kecil agar lebih serasi dan sepadan, ala……. orang tetap menamakannya dengan jilbab.”
Maka para wanita yang terpengaruh dengan bisikan ini terburu-buru mencari fesyen pakaian yang dimaksudkan. Tak ketinggalan kasut tumit tinggi, yang kalau untuk berjalan, dapat menarik perhatian orang.
Kedua, Membuka Seperempat Hingga Separuh Betis
Terbuka telapak kaki telah biasa ia lakukan, dan ternyata orang yang melihat juga tidak begitu ambil peduli. Maka syaitan kembali berbisik, “Terbukti manusia menyukai apa yang kamu lakukan, mereka tidak ada reaksi apa-apa, kecuali hanya beberapa orang. Kalau langkah kakimu masih kurang selesa, maka cubalah kamu cari fesyen lain yang lebih menarik, bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Bukankah itu lebih seksi dan menggoda siapa sahaja lelaki yang melihat?
Benar-benar bisikan syaitan dan hawa nafsu telah menjadi penasihat peribadinya, sehingga apa yang saja yang dibisikkan syaitan dalam jiwanya dia turutkan. Maka terbiasalah dia memakai pakaian yang terlihat separuh betisnya kemana saja dia pergi.
Ketiga, Terbuka Seluruh Betis
Kini di mata si wanita, zaman benar-benar telah berubah, syaitan telah berjaya membalikkan pandangan jernihnya. Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak bertentangan dengan suruhan agama. Namun bisikan syaitan dan hawa nafsu menyahut, “Ah zaman sudah berubah! Sekarang zaman moden, mesti ikut perkembangan fesyen terkini, nanti orang gelar ketinggalan zaman pula.”
Tetapi? Apakah itu tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki.
Fitnah?
Ah…… itu kan zaman dulu, ketika itu kaum lelaki tidak suka kalau wanita menampakkan auratnya, sehingga wanita-wanita mereka lebih banyak di rumah dan pakaian mereka sangat tertutup. Tapi sekarang sudah berbeza, kini kaum lelaki kalau melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan “ooooh!” atau “wow! hot girl”, bukankah ini bererti sudah tidak ada lagi fitnah, kerana sama-sama suka?
Lihat saja fesyen pakaian di sana-sini, dari yang di pasar malam hingga yang berjenama di pusat membeli belah, semuanya memperagakan fesyen yang dirancang khusus untuk wanita moden di zaman ini. Kalau kamu tidak mengikutinya, akan menjadi wanita kampung.
Demikianlah, maka pakaian yang menampakkan seluruh betis akhirnya menjadi kebiasaan, apalagi ramai yang memakainya dan sedikit sekali orang yang mempersoalkannya. Kini tibalah saatnya syaitan melancarkan tahap terakhir dari tipu dayannya untuk melucuti hijab wanita.
III. Serba Mini
Setelah pakaian yang menampakkan betis menjadi pakaian seharian dan dirasa biasa-biasa saja, maka datanglah bisikan syaitan yang lain. “Pakaian memerlukan variasi, jangan yang itu-itu saja, sekarang ini fesyen skirt mini, dan agar sepadan, rambut kepala harus terbuka, sehingga benar-benar kelihatan indah.”
Maka akhirnya skirt mini yang menampakkan bahagian bawah paha dia pakai, bajunya pun bervariasi, ada yang terbuka hingga lengan tangan, terbuka bahagian dada sekaligus bahagian punggungnya dan berbagai fesyen lain yang serba pendek dan mini. Koleksi pakaiannya sangat beraneka ragam, ada pakaian untuk berpesta, bersosial, pakaian kerja, pakaian rasmi, pakaian malam, petang, dan lain-lain, tak ketinggalan seluar pendek separuh paha pun dia miliki, fesyen dan warna rambut juga ikut bervariasi, semuanya telah dicuba.
Begitulah sesuatu yang sepertinya mustahil untuk dilakukan, ternyata kalau sudah dihiasi oleh syaitan, maka segalanya menjadi serba mungkin dan diterima oleh manusia.
Hingga suatu ketika, muncul idea untuk mandi di kolam renang terbuka atau mandi di pantai, di mana semua wanitanya sama, hanya dua bahagian paling ketara saja yang tersisa untuk ditutupi, kemaluan dan buah dada. Mereka semua mengenakan pakaian yang disebut “bikini”. Kerana semuanya begitu, maka harus ikut begitu, dan na’udzubillah bisikan syaitan berhasil, tujuannya tercapai, “Menelanjangi Kaum Wanita.”
“Selanjutnya terserah kamu wahai wanita, kalian semua sama, telanjang di hadapan lelaki dan di tempat umum. Aku berlepas diri kalau nanti kelak kalian sama-sama di neraka. Aku hanya menunjukkan jalan, engkau sendiri yang melakukan itu semua, maka tanggung sendiri semua dosamu” Syaitan tak ingin ambil risiko.
PENUTUP
Demikian halusnya cara yang digunakan oelhsyaitan, sehingga manusia terjerumus dalam dosa tanpa terasa dan tidak perasan. Maka hendaklah kita semua, terutamanya orang tua jika melihat gejala menyimpang pada anak-anak gadis dan para wanita, bersegeralah diambil tindakan. Jangan biarkan berlarutan, kerana kalau dibiarkan dan telah menjadi kebiasaan, maka akan menjadi sukar bagi kita untuk mengatasinya.
Mencegah lebih baik daripada merawat.
Membiarkan mereka membuka aurat bererti merelakan mereka mendapatkan laknat Allah, kasihanilah mereka, selamatkan para wanita muslimah, jangan jerumuskan mereka ke dalam kebinasaan yang menyengsarakan, baik di dunia mahupun di akhirat.

Mendidik Isteri Cara Rasulullah S.A.W

Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kreatif dalam mendidik isteri. Allah SWT bekalkan kepada kaum lelaki kekuatan akal yang rasional, tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan. Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah pula dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, seorang suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa.

Firman Allah SWT:
“Lelaki adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah melebihkan yang satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan sebahagian daripada hartanya.”
Kebahagiaan rumahtangga dapai diraih apabila suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri. Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk akal manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Kalau umpamanya isteri sedang berduka, suami perlu merancang untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.
Kaum wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu dan akal berbanding dengan lelaki hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukanlah nafsu seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan seseorang itu mudah hilang sabar, mudah berprasangka, pemarah, pemboros dalam berbelanja, cepat tersinggung dan sebagainya. Pendek kata, hasil dorongan nafsu itulah lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh saja pertimbangan akal. Atas dasar inilah isteri mesti dipandu atau dibimbing oleh suami agar segala tindak tanduknya tidak melulu ikut perasaan semata-mata.
Sembilan nafsu pada diri wanita boleh menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan rumahtangga jika tidak dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak mahu suami terpaksa mempelajari sedikit sebanyak ilmu untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta memenuhkan dada dengan ilmu syariat. Barulah nanti dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidik isteri sekalipun adakalanya menghadapi ragam isteri yang mencabar kesabaran suami.
Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran. Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan menyebabkan suami menurut saja kemahuan isteri sehingga isteri lupa daratan. Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami tewas dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh mencederakan isteri.
Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan berpandukan ilmu tasauf. Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu Rasulullah SAW.
Tatkala Rasulullah SAW lalu di sebelah rumahnya, perempuan tua itu akan membaling sampah kepada Rasulullah SAW. Adakalanya dia menaburkan sampah dan serpihan kaca di sepanjang jalan yang akan dilalui oleh Rasulullah SAW. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Baginda lalu di sebelah rumahnya. Namun sedikit pun tidak dipedulikan oleh baginda. Suatu hari Rasulullah SAW rasa pelik kerana perempuan tua itu tidak menghalangi lagi perjalanannya baik dengan serpihan kaca mahupun dengan sampah yang dibalingkan. Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya kepada jiran perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan itu sakit. Lalu Baginda naik ke rumahnya dengan tujuan untuk berziarah. Rasulullah SAW bertanyakan khabar dan tolong memasakkan air untuk perempuan tua itu. Alangkah terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak Baginda yang sanggup menziarahi dan membantunya tatkala dia sedang sakit. Akhirnya dengan sifat sabar, Rasulullah menghadapi kerenah perempuan tua itu, menyebabkan terbuka hatinya untuk mengucap dua kalimah syahadah.
Dalam peristiwa yang lain, pernah Rasulullah SAW melintasi sekumpulan kaum perempuan, lalu Baginda memberi salam. Namun tiada seorang pun yang menjawab salam baginda. Rasulullah SAW memberi salam sekali lagi. Mereka masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah beri salam, barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila ditanya mengapa mereka tidak menyahut salam yang pertama dan kedua, mereka menjawab: “Kami sengaja mahu Rasulullah SAW mendoakan untuk kami.”
Begitu Rasulullah SAW mendidik kaum wanita. Walaupun sesekali kesabaran baginda rasanya tercabar, tetapi Baginda masih dapat menunjukkan akhlak yang paling baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum perempuan yang pendek akalnya, kaum lelaki mudah naik angin. Memang tidak dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu perkara. Tetapi kaum lelaki mestilah menyedari hakikat bahawa kaum perempuan memang sediakala lemah pemikirannya. Oleh itu, suami mestilah bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang.
Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya tentang mandi hadas. Rasulullah SAW menjawab:
“Ambillah sepotong kain perca yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya.” Perempuan itu terpinga-pinga kerana tidak memahami keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi pertanyaannya: “Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu?” Sekali lagi Rasulullah mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum memahaminya. Lalu Rasulullah SAW meminta kepada Siti Aishah r.a. supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti Aishah pun berkata: “Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darah. Jika kapas itu tetap putih tanda haid sudah berhenti.”
Yang dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri pengasih, sekalipun jika dia seorang pemimpin. Ada waktu-waktu yang tertentu apabila suami bersama isteri, suami hendaklah merendahkan sifat egonya, seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah SAW tatkala bersama Siti Aishah.
Sewaktu Rasulullah SAW dinikahkan dengan Siti Aishah, umur baginda 55 tahun manakala Siti Aishah baru enam tahun dan mereka bersama tatkala Siti Aishah berusia sembilan tahun. Semasa melayan Siti Aishah, ada masanya Rasulullah berlagak seperti kawan sepermainan. Siti Aishah diajak berlumba lari. Kadang-kadang Siti Aishah menang dan adakalanya Rasulullah menang. Bermakna sewaktu bersama isteri, adakalanya Rasulullah melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan martabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut saja segala kemahuan isteri.
Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang cuma jangan sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan perjuangan terpaksa diketepikan. Sebagai pemimpin dalam sesebuah rumahtangga, suami berhak untuk mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh kerana wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka adakalanya apabila fikiran terganggu, emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau ada kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih lagilah jika kesalahan itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami.
Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah tatkala isteri sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan lakunya (sebab itu kebanyakan nama ribut diambil dari nama perempuan umpamanya Taufan Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain). Bagaimana sepatutnya tindakan suami untuk mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan ini? Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan prasangka isteri. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja mencari pasal kerana berlawan dengan syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya kendur.
Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh. Bukanlah untuk menggalakkan suami mengambil kesempatan melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di belakang isteri. Tetapi jika perkara yang disembunyikan itu tidak bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan suatu perkara yang isteri masih sukar untuk menerimanya. Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah SAW.
Suatu hari isteri-isteri datang menemui Baginda, dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya: “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah,yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?” Rasulullah SAW tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak terus menjawabnya. Bahkan Baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian. Bagaimana harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri anda? Memang tidak dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini diakui oleh Allah SWT. Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya supaya jangan ada di kalangan isteri-isteri yang tersinggung perasaanya kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang tertentu. Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah SAW mendatangi isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahkan sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada isteri-isteri yang lain.
Pada hari yang telah ditetapkan Rasulullah SAW menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukakan. Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah. Ada yang terasa pasti jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda di antara mereka. Tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW, Baginda pun berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.
Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah orang kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang sedang berleter, jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur, barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada tempatnya. Maka barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang disirami embun pagi pada kala panas terik. Rasulullah SAW juga pernah berhadapan dengan kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut meluahkan ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara tersebut.
Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah. Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pengasih terhadap suami dan anak-anak. Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami sekiranya suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak membebankan suami dengan masalah-masalahnya, bahkan dia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah suaminya. Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa memiliki isteri yang solehah, maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya.”
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:
“Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah.”
Apabila wanita dapat dididik dengan betul, maka ia dapat memberi kebaikan yang besar kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah boleh membahagiakan seisi alam.


Rebutlah Pangkat Isteri Solehah

Allah SWT Maha Pemurah dan Penyayang ke atas hamba-hambanya. Bagi kaum wanita ada 4 tiket untuk mereka masuk ke syurga, iaitu apabila mereka berjaya menjaga sembahyang fardhu, puasanya di bulan Ramadhan, ketaaatan kepada suami dan kehormatannya. Melalui empat perkara ini juga menyebabkan seseorang wanita itu boleh mencapai taraf solehah dan bertaqwa.
Begitu Penyayangnya Allah kepada insan yang bergelar wanita. Tetapi cuba kita renungkan kembali sejauh manakah kita telah berjaya meraih keempat-empat perkara ini dengan sebaik-baiknya. Sembahyang fardhu kebanyakannya tidak khusyuk.

Semasa bersembahyang sahaja aurat ditutup tetapi selepas itu kita kembali dengan pakaian yang mendedahkan aurat. Puasa kita sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi mulut masih mengumpat. Ketaatan kepada suami dibuat sambil lewa malah suami kadangkala dijadikan seperti lembu yang diikat hidungnya dengan tali (disuruh membuat itu dan ini). Ada yang menjadi pelacur dan menjual maruahnya untuk mendapatkan wang.
Sepatutnya kita kena banyak menangisi diri yang gagal menunaikan amanah Allah itu. Rasulullah selepas di Isyrak Mikrajkan, baginda tidak henti-henti menangis kerana terlalu amat sedih dan sentiasa berdoa kepada Allah swt supaya kaum wanita dan umat-umat yang disayanginya diselamatkan dari azab api neraka. Bayangkanlah, baginda saksikan bahawa di dalam neraka itu 75% adalah terdiri dari kaum Hawa. Badan-badan kita akan disambar oleh api neraka dan terbakar rentung dan akan diperbaharui lagi daging-daging tubuh lalu dibakar lagi hingga mengikut sebanyak mana dosa yang telah kita lakukan itu. Beruntunglah bagi mereka-mereka yang beramal soleh. Wanita-wanita yang solehah akan disambut oleh ‘wildan-wildan’nya (suami) diiringi dan serta diperelokkan kedudukannya di dalam syurga.
Bila diceritakan mengenai peribadi wanita bertaqwa dan solehah pastilah mereka-mereka ini mendapat pendidikan agama yang secukupnya. Bila ilmu telah dipelajari lantas terus diamalkannya. Maka jadilah mereka insan-insan yang terdidik untuk mentaati segala perintah Allah dan menjauhkan segala larangannya. Orang-orang yang banyak menangis kerana takutkan neraka Allah. Orang-orang yang sanggup berkorban apa saja demi kepentingan hari akhirat. Orang-orang yang sanggup hidup susah dengan berbagai ujian dan rintangan; tidak putus asa serta selalu ingat mati demi rindunya mereka untuk melihat wajah Allah swt dan Rasulullah.
Rebutlah pangkat wanita solehah yang bertaqwa kerana ianya tidak dapat dijual beli dengan dunia ini. Malahan tarafnya jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan apa jua pangkat nilaian di dunia ini. Semua kemegahan-kemegahan dunia ini tidak kekal lama dan biasanya kalau seseorang itu telah pencen ia akan kesepian dan dilupakan.
Seorang isteri yang solehah, dia akan melayani suaminya begitu baik sekali sebab itu merupakan tuntutan yang telah diwajibkan ke atasnya untuk dilaksanakan setelah diikat dengan ikatan ijab dan kabul. Inilah perbezaannya taraf seorang isteri dengan seorang pelacur di mana dia juga memberikan layanan yang baik kepada pelanggannya.
Tetapi layanannya itu atas dasar untuk mendapatkan wang. Manakala seorang isteri yang solehah setiap perkara yang dilakukan semata-mata untuk mentaati Allah, demi untuk mendapat keredhaan-Nya.
Bila suami berhajat, hendaklah segera mendapatkannya dan tinggalkan kerja-kerja yang sedang dilakukan. Hiasilah diri dengan pakaian yang menarik, bersolek dan memakai bau-bauan. Jangan bimbangkan anak-anak yang menangis ketika itu kerana para malaikat sentiasa menjaga mereka sehingga kita selesai menunaikan amanah Allah terhadap suami kita dan mereka mendoakan semoga kita dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Generasi yang bakal mengamankan dunia!
Ramai juga kaum wanita hari ini berjaya melayani suaminya dengan baik tapi bila saja suami sebut hendak kahwin seorang lagi dia mula tarik muka empat belas, hempas itu, hempas ini malah boleh jadi perang besar. inilah yang dinamakan cinta nafsu. Dia mahu dia seorang sahaja menguasai kasih sayang suami. Padanya bermadu itu suatu yang hina dan tidak mengapa kalau si suami memiliki perempuan simpanan walau sebanyak manapun.
Seorang isteri yang bertaqwa, dia tidak peduli samada hidupnya terpaksa bermadu dua, tiga atau empat sekalipun sebab itu bukan urusannya malah sebuah ketentuan dari Tuhan untuk menguji sejauh mana keikhlasannya melayani suami. Dia tidak akan ambil kisah sekiranya suaminya mengecilkan hatinya malah di hati kecilnya akan sering berkata, “Ini tugas aku dengan Allah, aku mesti laksanakan”. Akhirnya tidak timbul perkelahian bila bermadu bila setiap isteri telah faham dengan kedudukannya.
Hanya isteri solehah saja yang gembira bila dimadukan sebab suaminya telah menyelamatkan seorang lagi hamba Allah bila dikahwinkan. Bila seseorang itu telah berkahwin, InsyaAllah sembahyangnya akan lebih khusyuk kerana sebagagian dari agamanya telah diselamatkan. Di samping itu berkahwin juga boleh melembutkan hati dan menenangkan fikiran.
Untuk mencapai makam isteri yang solehah dan bertaqwa bukanlah semudah yang diucapkan. Kita mesti berusaha untuk mengikis sebanyak mungkin mazmumah yang terdapat dalam diri dan selalu berharap kepada Allah supaya dimasukkan sifat-sifat mahmudah dan dibantu ketika sedang bermujahadah di dalam menghadapi berbagai ujian.
Pecahkan hati dengan banyak menangis, bukan menangis kerana sayangkan harta dunia, takut dimadu dan sebagainya tetapi menangislah kerana takutkan azab Allah yang sangat pedih dan selalulah berindu-rindu untuk melihat wajah Allah. Sesiapa yang merindui Allah, Allah juga akan merinduinya dan Rasullah akan memberi syafaat kepada sesiapa yang merinduinya dan mereka akan bersama-samanya di dalam syurga kelak.
Banyakkan berselawat kepada baginda. Hanya baginda saja yang diberi keistimewaan untuk mengenali umat-umatnya sedangkan nabi-nabi lain gagal berbuat demikian. Berkat umat-umatnya yang bersungguh-sungguh menjaga tujuh anggota lahirnya (mata, telinga, perut, kemaluan, mulut, kaki dan tangan) dari berbuat maksiat dan mengamalkan sungguh-sungguh lima hukum (wajib, sunat, makruh, halal dan haram) yang telah Allah tetapkan. Hanya mereka-mereka ini sajalah yang akan bercahaya-cahaya di Padang Mahsyar kelak dan dipimpin oleh Rasulullah untuk menuju ke syurga.


Tidak kenal erti susah, segalanya mampu jika mahu!


Bila nampak gambar ini, rasa bersyukur sangat dengan rezeki kurniaan Allah kepada kita. Anak ini terpaksa menjaga adiknya kerana ibunya bekerja. Nasib baik cikgu sekolah benarkan. Sekurang-kurangnya anak-anak kita tak perlu hadapi semua ini. Itulah kita perlu sentiasa bersyukur. Rezeki itu bukan hanya wang, tapi kesihatan, kebahagiaan, ketenangan, kekuatan dan luas lagi maknanya. Oleh sebab itu kita tidak boleh alpa dengan kurniaan Allah. Perlu sentiasa berusaha keras untuk hidup didunia dan di akhirat. Perlu kejar kedua-duanya. Insya Allah.

Isteri Solehah



"Dulu pernah mendengar, pada masa mula-mula hendak kahwin. Tetapi, apa salahnya kita dengar untuk kesekian kalinya. Ia menjadi kata-kata hikmat dan pengajaran yang lebih bermakna. Kita dan ramai kawan masa muda-muda masih ingat nasihat itu."
Perbualan saya dengan wanita itu mengingatkan kepada wasiat seorang ibu solehah pada zaman kegemilangan Islam.
Mari hayati pesanan isteri 'Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:
"Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.
Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.
Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi 'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.
Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.
Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.
Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.
Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.
Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.
Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.
Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.
Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.
Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu."


KLIK SINI --->>PakarBisnesTshirt.com<<